KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tiada masalah untuk mengetengahkan calon daripada mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah memberikan komitmen beliau dan BN untuk memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK tersebut.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, beliau berkata calon yang dipilih berdasarkan persefahaman bersama dalam kalangan BN, Pakatan Harapan (PH) atau parti-parti komponen yang lain.

“Adalah penting untuk kita mengelak dari mengeluarkan kenyataan yang akan mengeruhkan asas perpaduan dan persefahaman dalam kerajaan ini.

“Setiap pihak perlu berfikir pelbagai sudut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Setiap permasalahan yang berlaku perlu diselesaikan secara kolektif dan perbincangan secara dalaman antara parti terlibat.

“BN tentunya tidak akan membiarkan pihak pembangkang memenangi PRK Kuala Kubu Baru,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Tambah beliau, BN komited untuk berusaha agar calon Kerajaan Perpaduan memenangi PRK Kuala Kubu Baru, dengan pendekatan yang mungkin berbeza dan dilihat sesuai.

Katanya lagi, PRK tersebut akan memberikan satu dimensi baru terutamanya dalam konteks politik kesederhanaan dan kestabilan negara.

“Politik kesederhanaan ini penting untuk menjamin kelangsungan dan usaha Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kestabilan negara, mengamalkan prinsip sederhana dan kepentingan semua masyarakat majmuk di Malaysia.

“BN akan menyusun gerak kerja dilaksanakan dengan baik di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan agar memastikan pengundi menunaikan hak mengundi, sekali gus memberi kemenangan buat calon Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.